Penyanyi baru yang semakin terkenal di Indonesia, Isyana Sarasvati mendedahkan dirinya mempunyai sifat kasar yang tidak diketahui ramai pihak.

"Sebalik penampilan penuh dengan kelembutan, sebenarnya saya mempunyai sikap kasar seperti tomboi. Jika ada kelapangan, saya lebih gemar bermain permainan video dan melakukan aktiviti lasak.

"Ramai terpedaya dengan sikap ayu saya tetapi sebenarnya saya mempunyai sisi maskulin," seloroh Isyana kepada Astro Gempak.

Tambah Isyana, dia juga tidak mempunyai ramai rakan baik.

"Semenjak sekolah, saya hanya mempunyai empat orang teman yang benar-benar rapat dengan saya. Selebihnya saya anggap seperti teman biasa sahaja.

"Bukannya saya sukar bergaul, tetapi saya lebih gemar meghabiskan masa bersama keluarga jika mempunyai kelapangan," katanya ketika ditemui di sesi promosi album terbarunya di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi album berjudul Paradox, Isyana mempertaruhkan lapan buah lagu.

"Jika album pertama saya lebih berkisarkan mengenai perjalanan dan kisah hidup rakan-rakan, album Paradox lebih bersifat peribadi.

"Semua lagu merupakan hasil curahan hati saya dan berdasarkan pengalaman sendiri. Menariknya, hanya ada dua lagu sahaja yang bersifat sedih dan melankoli," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Isyana