Pelakon dan pengacara, Diana Amir mengakui malu apabila menonton semula filem lakonannya dulu.

Menurut Diana, dia berharap supaya pihak stesen televisyen tempatan dapat mempertimbangkan agar tidak menyiarkan lagi filem-filem lama lakonannya.

"Sejujurnya saya memang berasa malu apabila mengenangkan apa yang terjadi dulu dan sebolehnya saya ingin lupakan segalanya.

"Namun saya tidak mempunyai hak untuk menghalang mereka daripada menyiarkan filem-filem itu dan saya berharap agar pihak tersebut dapat mempertimbangkan permintaan saya ini.

"Ada juga peminat yang muda-muda ini terkejut apabila melihat cara pemakaian saya dulu.

"Bagi saya biarlah apa yang berlaku itu menjadi sejarah dalam hidup saya dan mungkin itu adalah kesalahan diri saya pada masa lalu," katanya kepada Astro Gempak.

Diana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Ikon Muslim Volunteers Malaysia 2018 (MVM), di De Palma Hotel, Shah Alam, pada Isnin.

Pada sidang media tersebut, seramai lapan orang selebriti di umumkan sebagai Ikon Muslim Volunteers Malaysia 2018 (MVM).

Antaranya Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Puan Dila Mubarak, Lah Ahmad, Datin Alyah, Diana Amir, Mila Jirin, Azmi Saat dan Syamel.

MVM merupakan organisasi yang membantu dan menghubungkan NGO-NGO lain dengan kerajaan, menghantar sukarelawan-sukarelawan yang ada ke NGO-NGO yang memerlukan serta membantu golongan keluarga fakir miskin, anak-anak yatim.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi