Pelakon Farah Nabilah mengakui pernah menerima komen-komen dan mesej nakal daripada netizen di media sosialnya terutama Instagram.

Namun, pelakon drama bersiri Titian Cinta itu enggan memanjangkan cerita dan tidak melayan kisah-kisah yang boleh menjejaskan nama baiknya.

"Kebanyakan mesej atau komen yang sensitif saya tidak akan membalas atau melayan sama sekali.

"Sebab kalau saya terus melayan, perkara itu akan berlarutan dan menjadi panjang lebar.

"Kalau ada komen-komen yang mengaibkan pula saya akan terus delete sebab saya tidak mahu peminat-peminat saya bertelagah," kata Farah kepada Astro Gempak.

Farah akui kebanyakan komen sensitif diterimanya berkisar tentang aurat dan agama namun dia tidak menyalahkan netizen untuk menegurnya ke arah kebaikan.

"Biasanya saya dinasihatkan untuk menutup aurat dan saya tidak salahkan sesiapa pun.

"Hak masing-masing untuk menegur tetapi tegurlah dengan cara berhemah, seboleh-bolehnya doakan saya," tambahnya.

Farah Nabilah muncul menerusi naskhah terbaharu supertelefilem Baby Bro bergandingan dengan Zizan Razak dan Shaheizy Sam.

Baby Bro diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan disiarkan di saluran Astro First Eksklusif bermula 23 November lalu.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @farahnabilahofficial