Pelakon Jue Aziz mengakui terkejut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab memaklumkan kepada produser dan penerbit drama dia sudah berhenti berlakon.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 34, berkata, tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit seolah-oleh cuba untuk menutup pintu rezekinya dalam bidang seni ini.

"Saya terkejut apabila ramai produser dan penerbit drama menghubungi selepas menonton drama terbaharu lakonan saya yang ditayangkan baru-baru ini.

"Mereka memberitahu bahawa ada pihak yang mengatakan bahawa saya sudah berhenti berlakon selepas berkahwin dan memakai hijab.

"Bagi saya tindakan yang dilakukan oleh pihak yang menjaja cerita itu seolah-olah menutup periuk nasi saya sehinggakan saya tidak mendapat tawaran berlakon.

"Bidang ini adalah periuk nasi saya dan tidak mungkin saya akan berhenti berlakon.

"Saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana ini mungkin lumrah bergelar anak seni dan saya mahu jelaskan kepada semua bahawa saya masih berlakon," katanya kepada Astro Gempak.

Jue berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017 yang diadakan di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Grand Finale Lefestour 10.0 itu akan diadakan selama tiga hari pada 8 hingga 10 Disember depan bertempat di Melaka International Trade Centre (MTIC) Melaka.

Antara selebriti yang dijangka terlibat dalam Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017 adalah Jue Aziz, Amyza Aznan, Zul Huzaimy, Mawi, Rashid Sibir, Angah Raja Lawak dan ramai lagi.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi