Pelakon Muhammad Ariff atau dikenali sebagai Buntat mengakui menyimpan hasrat untuk berlakon bersama aktres Janna Nick dan Ayda Jebat.

Menurut Ariff, 13, dia kagum dengan kehebatan yang ada kepada dua pelakon itu dan berharap suatu hari nanti akan diberi peluang untuk bergandingan bersama dalam filem atau drama.

"Saya amat minat dengan Janna Nick dan Ayda Jebat kerana mereka merupakan pelakon yang hebat dan cantik.

"Sudah pasti saya menyimpan hasrat untuk berlakon bersama dan saya berharap impian itu akan menjadi kenyataan.

"Saya belum pernah berjumpa dengan mereka lagi dan jika diberi peluang sudah pasti saya mahu berbual dengan mereka berdua ini.

"Semoga suatu hari nanti impian saya untuk berlakon bersama mereka akan dapat direalisasikan jika ada watak yang sesuai dengan saya," katanya kepada Astro Gempak.

Ariff berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Jibam, di MM Cineplex ecurve, Damansara, baru-baru ini.

Filem Jibam merupakan karya arahan Che Mie yang menyaksikan Ariff sebagai watak utama.

Selain Ariff, filem ini turut dibintangi oleh Syafie Naswip, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Jibam merupakan filem yang diadaptasi daripada novel popular 90-an hasil tulisan kartunis Ibrahim Anon atau Ujang.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Jibam pada 7 Disember ini di seluruh pawagan yang berada di tempat anda.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi