Filem tempatan Shuttle Life berjaya meraih dua anugerah di Festival Filem Golden Horse edisi ke-54 pada Sabtu di Taipei.

Dua anugerah tersebut adalah Pengarah Baharu Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Pengarah Shuttle Life, Tan Seng Kiat hadir ditemani watak utama filem terbabit Jack Tan untuk menerima penghargaan tersebut.

Festival Filem Golden Horse Taipei ialah acara penganugerahan tahunan berprestij yang memberi pengiktirafan kepada hasil karya dalam bahasa Cina.

Tahun lepas, lagu tema Ola Bola, "Arena Cahaya" berjaya memenangi Anugerah Lagu Asal Terbaik hasil ciptaan penyanyi Zee Avi bersama Rendra Zawawi.

Filem Shuttle Life mengisahkan seorang lelaki bernama Ah Qiang yang menetap di sebuah bandar besar bersama ibunya yang mempunyai masalah mental dan adik perempuannya Hui, 5.

Susulan kematian Hui dalam satu kemalangan, Ah Qiang menjadi tertekan untuk menuntut mayat adiknya pulang ke rumah.

Ini kerana dia tidak dapat membuktikan hubungannya dengan Hui memandangkan kelahiran adiknya itu tidak pernah didaftarkan.

Sumber: Astro Awani