Nama Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma tiba-tiba sahaja menjadi topik perbualan netizen.

Bukan kerana perihal politiknya, sebaliknya Zuma menjadi tumpuan gara-gara satu rakaman videonya yang tular.

Dalam rakaman berdurasi 35 saat itu, Zuma dilihat berhempas pulas untuk cuba menyebut frasa 'in the beginning' dengan betul.

Namun sehinggalah ke penghujung video, Zuma masih gagal menyebutnya dengan baik.

Video itu dipercayai dirakam di sebuah acara tahun lalu, namun ia mula tular selepas dimuatkan dalam satu program televisyen, Tonight Live with Dr.Ofweneke, yang disiarkan di saluran EBR, minggu lalu.

"Kami sayang penonton-penonton kami di Afrika Selatan, tetapi apa kata anda nasihatkan presiden anda untuk mencuri buku terlebih dahulu, sebelum mencuri duit," kata Ofweneke dalam nada berseloroh selepas rakaman itu disiarkan.

Zuma, yang menjawat jawatan presiden sejak 2009, bukan kali pertama menjadi mangsa troll netizen, khususnya di benua Afrika, malah cukup dikenali kerana sering tersasul dalam ucapan yang dilakukannya.


Sumber: Astro Awani