Pelakon Jue Aziz mengakui kecewa apabila kontraknya sebagai duta sebuah produk kecantikan ditamatkan serta-merta tanpa sebab.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 34, berkata, tindakan yang dilakukan oleh pemilik syarikat sebagai tidak profesional dan berasa dirinya dianiaya.

"Saya tidak faham kenapa mereka menamatkan kontrak saya dengan serta-merta tanpa sebab setelah beberapa bulan menandatangani kontrak.

"Sejujurnya saya sedih apabila kerjasama yang dijalankan selama ini diakhiri dengan cara tidak baik.

"Lebih menyedihkan, suami saya juga turut terkena tempias apabila dituduh dengan perkara yang bukan-bukan.

"Saya berharap agar syarikat itu dapat membersihkan nama saya dan tidak lagi menggunakan wajah saya untuk pegeluaran produk kerana saya tidak terbabit lagi dengan jenama itu," katanya kepada Astro Gempak.

Jue berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017 yang diadakan di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Grand Finale Lefestour 10.0 itu akan diadakan selama tiga hari pada 8 hingga 10 Disember depan bertempat di Melaka International Trade Centre (MTIC) Melaka.

Antara selebriti yang dijangka terlibat dalam Grand Finale Lefestour 10.0 Melaka 2017 adalah Jue Aziz, Amyza Aznan, Zul Huzaimy, Mawi, Rashid Sibir, Angah Raja Lawak dan ramai lagi.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi