Pasangan popular, Fattah Amin dan Nur Fazura menafikan mereka sudah bernikah seperti didakwa oleh sesetengah pihak di laman sosial.

"Keluarga saya menghantar rombongan merisik dan bertunang pada 13 November 2017.

"Alhamdulillah, perancangan majlis itu selamat dijalankan. Pengumuman memang ingin dilakukan selepas kami pulang dari Umrah. Majlis tersebut dijalankan secara tertutup atas permintaan keluarga.

"Semasa kami sedang beribadah di Tanah Suci Mekah, pelbagai spekulasi yang keluar. Semuanya bukan dari mulut kami.

"Ingin saya tegaskan, kami tidak bernikah di Mekah. Kami belum bernikah sebenarnya. Kami mahu menjalani proses dan persiapan pernikahan seperti orang biasa," kata Fattah

Fattah dan Fazura menamatkan spekulasi tersebut menerusi sebuah sidang media yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Terdahulu, Fattah dan Fazura, bersama keluarga masing-masing berlepas ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pada 15 November lalu.

Namun begitu, ada desas-desus menyatakan pasangan itu sudah selamat bernikah dua hari sebelum itu.

Pasangan ini mula rapat selepas digandingkan dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella, yang disiarkan pertengahan tahun ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Syafiqah Jalal