Hantu Kak Limah Tanpa Arwah Pak Jabit & Pak Zami, Memang Dirasai - Mamat Khalid

Hiburan
Hantu Kak Limah Tanpa Arwah Pak Jabit & Pak Zami, Memang Dirasai - Mamat Khalid
Pengarah Mamat Khalid mengakui berasa kehilangan apabila dua watak penting dalam filem arahannya, Hantu Kak Limah kini sudah tiada.

Menurut Mamat, kehilangan beberapa nama yang cukup sinonim dengan filem Hantu Kak Limah selama ini seperti Pak Abu (Allahyarham Zami Ismail), Pak Jabit (Allahyarham Man Kadir Shamsi) dan Wan Kaswi (Allahyarham Azwan Annuar) sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya.

“Tanpa kita sedar, tiga pelakon penting filem Hantu Kak Limah telah tiada namun filem ini tetap akan diteruskan dan saya harap ia akan menjadi filem yang paling lawak pernah saya hasilkan.

“Cuba bayangkan apa perasaan saya sebagai pengarah apabila ramai yang bertanya bagaimana untuk meneruskan filem Hantu Kak Limah tanpa watak-watak mereka. 

"Jadi, saya mewujudkan beberapa watak baharu supaya dapat mengisi kekosongan watak-watak yang ditinggalkan oleh arwah.

“Apa yang pasti filem kali ini bukanlah sambungan atau sekuel kepada Hantu Kak Limah kerana jalan ceritanya juga jelas berbeza dan saya harap filem ini dapat segera disiapkan," katanya kepada Astro Gempak.

Mamat berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran Hantu Kak Limah, di Taiping, baru-baru ini.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah akan kembali menemui penonton pada tahun depan hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Filem Hantu Kak Limah 3 dijangka menemui penonton pada Ogos 2018.
 
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Artikel Berkaitan