Penyanyi popular Mawi, akui seronok apabila impiannya untuk menceburi bidang penyiaran radio tercapai selepas 12 tahun.

“Saya terima tawaran ini sebab saya memang suka dan seronok dengan kerjaya sebagai penyampai radio.

“Lagipun sebelum memasuki pertandingan Akademi Fantasia 3 (AF3) pun saya dah bergelar DJ radio di sebuah pasaraya di Johor selama empat tahun.

“Sebenarnya niat saya masuk AF3 pun sebab nak capai cita-cita jadi DJ. Saya nampak peluang ke arah bidang penyiaran radio jadi saya cuba nasib sahaja.

“Saya tak ada target nak jadi penyanyi pun, nyanyian itu cuma sekadar hobi sahaja,” katanya ketawa.

Mawi ditemui Astro Gempak ketika majlis pelancaran Radio ZAYAN baru-baru ini.

Mengulas mengenai kerjaya barunya, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani memberitahu pada mulanya agak kekok untuk bergandingan bersama Anas Tahir menerusi slot Salam Bros namun selepas seminggu mereka mula mendapat keserasian.

“Pada awalnya rasa gemuruh, biasalah benda baru memang gementar lagi-lagi dah lama tinggal. Sewaktu jadi DJ dulu saya dah biasa buat seorang jadi bila kena bergandingan rasa kekok sikitlah.

“Tapi tak lama sebab Anas pun memang jenis ‘gila-gila’ dan dalam masa seminggu bila dah jumpa rentak teruslah serasi.

"Alhamdulillah pengalaman lalu banyak memberi keyakinan untuk saya berada di konti radio,” katanya.

Mawi bersama seorang penyampai radio baharu iaitu Anas mengendali slot Salam Bros di Zayan.fm setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 hingga 10 pagi.

Selain Mawi dan Anas Tahir, penyampai radio ZAYAN yang lain adalah Lin Ariffin, Raqi serta Falyq.

ZAYAN telah pun ke udara pada Oktober lalu menerusi frekuensi 104.9 fm, zayan.my dan aplikasi ZAYAN (muat turun melalui App Store, Play Store).

Antara segmen yang disediakan di Zayan adalah Salam Bros Mawi & Anas (6 pagi - 10 pagi), #ZOTD Lin Ariffin (10 pagi - 3 petang), Zayan Valet Raqib (3 petang - 7 malam), Zayan Fikir (7 malam - 8 malam) dan Zayan Cafe Falyq (8 malam - 12 tengah malam)

Teks oleh: Mya Amri