Berikutan entri yang dimuatnaik gitaris kumpulan Kristal Rody di sosial media Instagramnya semalam, bintang Gegar Vaganza 4 (GV 4), Lan meminta dirinya diberikan ruang untuk menjawab isu tersebut.

Rody menerusinya entrinya mengumumkan Kristal akan mengadakan uji bakat memandangkan vokalis mereka, membuat keputusan untuk bergerak secara solo.

Lan ketika dihubungi meminta dirinya diberikan ruang untuk fokus pada persembahannya di minggu kelima konsert GV 4, malam Ahad ini.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat respon terhadap isu tersebut hari ini. Saya mohon agar diberikan sedikit ruang untuk memberi perhatian kepada persembahan minggu ini terlebih dahulu.

“Tambahan lagi, tugasan saya di minggu kelima ini agak mencabar. Saya tiada masalah untuk menjawab semua pertanyaan selepas konsert GV 4 nanti,” jawabnya tenang.

Terdahulu Rody memuatnaik keratan akhbar mengenai kenyataan Lan dalam sebuah temu bual baru-baru ini yang menyatakan hasratnya untuk bergerak solo.

Rody turut memberitahu kumpulan Kristal memutuskan untuk merehatkan vokalisnya, Lan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti seni bersama band itu.

Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagram rasmi @kristalband semalam dan diulang siar menerusi akaun gitaris band itu, Rody.

Foto: Instagram Lan Kristal