Vokalis kumpulan Noah, Ariel, akui menyimpan hasrat untuk berkolaborasi bersama penyanyi rap Joe Flizzow.

Menurut Ariel, dia ingin menampilkan kelainan dalam karya dihasilkan memandangkan Joe merupakan penyanyi yang mempunyai genre muzik berbeza dengan Noah.

"Jika diberikan peluang kami ingin bekerjasama dengan Joe Flizzow memandangkan dia merupakan seorang penyanyi yang hebat.

“Kami tidak mahu tampil dengan penyanyi yang sama genre dengan Noah, jadi Joe merupakan penyanyi yang sesuai untuk kami bekerjasama memandangkan mempunyai berlainan genre.

"Sudah pasti gandingan kami akan dinantikan kerana peminat mahu melihat kelainan dalam karya Noah.

"Tidak dapat dinafikan bakat yang ada pada Joe dan kejayaan yang diperolehinya membuatkan kami ingin berkolaborasi bersama dengan dia ," katanya kepada Astro Gempak.

Ariel berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Noah Live In Kuala Lumpur, di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Noah Live In Kuala Lumpur akan diadakan pada 25 November (Sabtu ini), di Stadium Negara.

Para peminat Noah yang masih belum dapatkan tiket boleh melayari laman web airasiaredtix.com, bermula dengan harga RM95 sehingga RM235.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi