Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) membuat laporan di Balai Polis Jelapang, semalam selepas cuba ditipu sebanyak RM30,000 oleh sekumpulan lelaki yang membuat panggilan telefon kepadanya.

Datuk Seri Vida, 46, berkata lelaki yang mendakwa pegawai sebuah bank meminta nombor kad pengenalannya bagi tujuan pengesahan dan memaklumkan akaun peribadinya dibekukan kerana mempunyai tunggakan pinjaman peribadi bernilai RM30,000 di Cawangan Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah.

Dr Vida berkata, dia terkejut dengan maklumat itu dan meminta siasatan dilakukan sebelum lelaki berkenaan memaklumkan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan menghubunginya untuk maklumat lanjut.

Katanya, selepas itu beberapa individu berlainan menghubunginya hingga semua perbualan itu berlarutan hampir dua jam.

"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa kerana semua nombor telefon yang tertera memang betul, sama ada dari IPK atau bank serta setiap data peribadi yang dimaklumkan juga tepat.

"Namun, saya mula terkejut sebaik dimaklumkan akaun berkenaan terpaksa dibekukan kerana ada individu menyalahgunakan akaun terbabit bagi aktiviti pengedaran dadah.

"Beberapa panggilan terbabit turut bertanyakan mengenai butiran peribadi, termasuk akaun simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB)," katanya.

DSV turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan sehingga mendedahkan data peribadi.

Sumber: Berita Harian