Penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain enggan mengikut permintaan sesetengah pihak yang mahukan dirinya melakukan strategi artis baru kelahiran laman YouTube.

Berada lebih sepuluh tahun dalam industri hiburan, Imran percaya sesebuah karya yang dihasilkan akan mendapat sambutan dengan menampilkan naskah yang berkualiti.

"Ada sesetengah pihak meminta saya menyanyikan lagu 'cover' dan memuat naik video tersebut di laman YouTube. Cara tersebut sama seperti apa yang dilakukan oleh artis muda zaman sekarang dan bertujuan untuk mencari peminat serta pengikut baru.

"Saya rasakan saya tidak mampu untuk menurut permintaan itu kerana saya percaya dengan kekuatan lagu. Dengan sebuah karya yang berkualiti bersama cara pemasaran yang betul, peminat sendiri akan menghargai naskah yang dikeluarkan," kata Imran.

Muncul dengan buah tangan terbaru duet bersama penyanyi bersuara lunak, Najwa Mahiaddin, Imran berdebar menanti penerimaan peminat.

"Saya dan Najwa berkolaborasi menjayakan sebuah lagu berjudul Sentiasa Merinding. Paduan vokal kamu bersatu dalam lagu yang kami ciptakan sendiri bersama Az Avex Azman.

"Selepas lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru, sudah pastinya saya dan Najwa berdebar menunggu penerimaan pendengar. Semoga peminat dapat menerima lagu Sentiasa Merinding," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @imranajmain / @sukasucrestudio