Vokalis kumpulan Wings, Awie mengakui pelakon Ropie merupakan halangan terbesarnya dalam menghidupkan watak sebagai Husin di dalam filem Hantu Kak Limah.

Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman, 49, berkata, dia mengakui sukar untuk berhadapan dengan Ropie kerana tidak dapat menahan ketawa setiap kali memandang wajah pelakon itu.

"Ropie benar-benar menguji saya dalam filem Hantu Kak Limah pada kali ini kerana dia tidak habis melakukan jenaka ketika sedang melakonkan babak yang serius.

"Setiap kali nak masuk babak saya bersama dia, pasti saya tidak dapat nak tahan gelak kerana raut wajahnya.

"Walaupun dia hanya berdiri tegak dengan keadaan muka yang serius, itupun dah buat saya sakit perut nak tergelak.

"Memang sengsara berlakon dengan dia dan saya memang kagum dengan bakat lawak semulajadi yang ada pada Ropie," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran Hantu Kak Limah, di Taiping, Perak, baru-baru ini.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah akan kembali menemui penonton pada tahun depan hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Zul Ariffin, Uqasha Senrose, dan Erra Fazira.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi