Pelakon dan penyanyi Amira Othman mahu mengelak untuk dijodohkan dengan lelaki yang berstatus suami orang.

Pengalaman melakonkan watak seorang isteri yang dicurangi suami dalam drama bersiri Red Velvet membuatkan Amira berhati-hati.

“Menghidupkan watak Suhaila yang dicurangi Fareeq lakonan Hafidz Roshdi membuatkan saya banyak belajar.

“Sebagai seorang wanita bujang, lebih baik jika saya mengelak kalau ada lelaki berstatus suami orang mahu berkenalan.

“Saya sedar yang jodoh sudah ditentukan oleh Tuhan tetapi seboleh-bolehnya, biarlah jodoh saya dikalangan lelaki solo,” kata Amira kepada Astro Gempak.

Tambah Amira, dia juga senang bekerjasama dengan Hafidz dan tenaga produksi Red Velvet.

“Pengalaman bekerja bersama mereka sangat menyenangkan. Semua banyak memberikan input dan tunjuk ajar untuk saya menjayakan watak Suhaila,” katanya ketika ditemui di Majlis Tamat Penggambaran Red Velvet di SukaSucre Bistro, baru-baru ini.

Majlis serba ringkas itu telah mendapat penajaan lokasi dan makanan oleh pemilik SukaSucre Bistro, Datuk Fazley Yaakob.

Bukan itu sahaja, SukaSucre Bistro juga menjadi salah satu lokasi penggambaran drama ini termasuk kemunculan Fazley sendiri sebagai penampilan khas.

Antara hidangan yang disediakan oleh SukaSucre Bistro adalah Pasta Daging Salai Lemak Cili Api, Meehoon Goreng, Nasi Goreng Ayam, kek cawan Red Velvet dan kuih-muih.

Sama-sama kita saksikan drama bersiri Red Velvet yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial, jangan lupa sertakan hashtag #RedVelvetDrama #RedVelvet.

Teks oleh: Kamaruddin Razal