Pelakon terkemuka, Datuk Rosyam Nor terharu kerana mendapat peluang untuk menghidupkan watak legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Rosyam melakonkan watak Misbun dalam filem berjudul 'Lee Chong Wei' yang mengangkat kisah hidup juara badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Peluang untuk membawakan watak Misbun merupakan satu tawaran yang tidak patut saya tolak. Saya terharu apabila pihak produksi menawarkan saya untuk menghidupkan karakter ini dalam filem Lee Chong Wei.

"Dalam masa yang sama, saya juga rasa risau kerana saya membawa watak seorang individu yang masih hidup. Misbun juga merupakan idola saya dalam sukan badminton," kata Rosyam kepada Astro Gempak.

Tidak berpeluang untuk bertemu dengan Misbun, Rosyam melakukan kajian sendiri di laman Internet.

"Saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Misbun kerana kekangan masa. Akhirnya, saya melakukan kajian mengenai perwatakan Misbun menerusi internet.

"Perkara tersebut tidak begitu sukar kerana saya sendiri membesar melihat Misbun mengharumkan nama negara kita dalam sukan badminton," katanya lagi.

Bakal menemui kaki wayang sekitar tahun depan, filem 'Lee Chong Wei' terbitan CB Pictures ini juga bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa.

Teks oleh: Kamaruddin Razal