Pelakon Korea terkenal, Kim Rae Won menyatakan keinginannya untuk berlakon di Malaysia.

“Sekiranya saya berpeluang untuk berlakon selain di Korea, destinasi pilihan saya adalah Malaysia.

“Kalau ditanya tentang watak pilihan, secara jujurnya melihat pada kerjaya sebagai seorang pelakon, pelbagai watak telah saya lakonkan.

“Saya percaya semuanya bergantung kepada skrip dan juga jalan cerita, sebagai seorang pelakon perkara utama yang saya lakukan adalah memahami dan meneliti watak yang diberikan.

“Dengan itu barulah saya dapat menjiwai karakter yang diberikan selain skrip yang bagus dan juga pengarah yang hebat, saya rasa hasil pasti akan memberangsangkan,” katanya ketika dalam satu temubual eksklusif bersama Astro Gempak pada Selasa bertempat di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, berbicara mengenai kerjayanya sebagai seorang pelakon, Kim Rae Won memberitahu dia akan merasa gembira sekiranya berjaya menghidupkan watak seperti mana yang diminta oleh pengarah.

“Ada beberapa perkara yang membuatkan saya gembira ketika berlakon antaranya jika lakonan saya berjaya memberi kesan kepada penonton.

“Ada juga beberapa watak yang saya dapat memang menunjukkan kehebatan karakter itu tapi saya tetap lakukan ‘homework’ dan dan berbincang mengenai peranan watak tersebut.

“Saya lebih selesa sekiranya saya dapat menghidupkan sesuatu watak yang dilakonkan menjadi ‘real’ dan membuatkan penonton dapat ‘merasai’ keberkesanan lakonan saya,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon berusia 35 tahun ini juga menyatakan rasa terharu melihat peminat yang hadir ketika sesi bertemu peminat ‘A Date with Kim Rae Won’ yang berlangsung di pusat membeli-belah Pavillion pada Isnin.

“Ini pertama kali saya datang ke Malaysia dan terima kasih kerana sudi hadir untuk bertemu saya.

“Begitu ramai sekali yang datang dan seronok dapat bertemu anda semua. Secara jujurnya saya terharu melihat sambutan peminat.

“Terima kasih sekali lagi dan semoga kita bertemu lagi,” katanya sambil tersenyum.

Kepada peminat Kim Rae Won, jangan lupa saksikan drama Doctors yang akan ditayangkan dua episod sekaligus bermula 30 October ini, setiap Ahad, jam 12.45 petang di ONE HD (saluran 393).

Kredit Foto: ONE HD

Teks Oleh: Mya Amri