Lebih daripada 10 orang artis popular tanah air bakal memeriahkan 'Jakel Charity Run for Rohingya Kuala Lumpur 2017, yang akan diadakan di perkarangan Jakel Mall, pada 10 Disember depan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz berkata, program berkenan adalah untuk mengumpul dana dalam membantu mangsa keganasan dan penindasan yang dialami oleh etnik Rohingya.

"Kami sasar untuk mengumpul RM700,000 dalam charity run yang akan diadakan nanti dan ini merupakan peranan Jakel untuk menyahut usaha kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Kesemua hasil kutipan pembayaran pendaftaran penyertaan daripada peserta, sumbangan para penaja dan Jakel sendiri akan diserahkan sepenuhnya kepada masyarakat Rohingya," katanya kepada Astro Gempak.

Faroz berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Jakel Charity Run for Rohingya Kuala Lumpur 2017 yang diadakan di Jakel Mall, pada Selasa.

Antara selebriti yang terlibat ialah Awal Ashaari, Scha Alyahya, Hairul Azreen, Hanis Zalikha, Aida Jebat, Caprice, Norman Hakim, Memey Suhaiza dan Fara Fauzana.

Terdapat dua kategori Jakel Charity Run Rohingya 2017 iaitu 10 kilometer dan dibahagikan kepada Lelaki dan Wanita.

Manakala kategori 5 kilometer akan berkonsepkan 'Fun Fun' dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Layari www.racexasia.com untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jakel Charity Run Rohingya 2017.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi