Baru seminggu dimuat naik ke Laman YouTube, video lirik lagu ciptaan dan nyanyian pelawak terkenal, Achey berjudul Yang Terindah sudah mencecah sejuta tontonan.

Selain ditonton sejuta kali, video lirik tersebut turut menjadi trending di YouTube dan berada di tangga ke-11.

Achey ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia tidak menyangka lagu ciptaannya untuk isteri, Nur Hasanah Yahaya mendapat tempat di hati peminat.

“Ini percubaan pertama saya dalam bidang nyanyian, saya sendiri tidak menjangkakan akan mendapat maklum balas positif daripada pendengar dan peminat.

“Terima kasih kepada yang telah menyokong saya selama ini dan sambutan terhadap lagu Yang Terindah ini akan menjadi pembakar semangat buat diri saya untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Lagu Yang Terindah merupakan ciptaan Achey sepenuhnya dan disempurnakan oleh Zimi Sofazr.

Video lirik Yang Terindah diterbitkan Sarah Shaber Production dan diedarkan Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd.