Pelakon baru Hanna Aqeela mengakui bukan mudah untuk bergelar seorang pelakon apatah lagi untuk meraih populariti dalam masa yang singkat.

Hanna Aqeela atau nama sebenarnya Hanna Aqeela Mohd Rosni, berkata, kemunculannya dalam bidang lakonan adalah berlaku secara kebetulan dan mahu mengentengahkan bakat yang ada.

"Sebenarnya sudah tiga tahun saya berada dalam industri seni dan perjalanan saya dalam bidang ini memang agak lambat.

"Ini kerana saya tiada asas dalam lakonan menyebabkan saya belajar daripada bawah untuk menjadi seorang pelakon.

"Alhamdulillah meski pun nama saya kurang dikenali namun masih banyak tawaran yang diterima oleh pengarah dan penerbit.

"Bagi saya popular itu bukan sesuatu yang utama kerana jika lakonan saya bagus sudah tentu orang akan sedar kehadiran saya dalam industri ini," katanya kepada Astro Gempak.

Hanna Aqeela berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dubai My Love, di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Dubai My Love di seluruh pawagam bermula 26 Oktober.

Selain Hanna Aqeela, Dubai My Love turut dibintangi oleh Erwin Dawson dan Putri Najuwa.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi