Spekulasi tentang pertunangan Fattah Amin dan Fazura yang dikatakan bakal berlangsung pada 13 November ini telah mengejutkan banyak pihak.

Malah, perkara tersebut juga masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini kerana tiada kenyataan daripada Fattah mahupun Fazura.

Fattah ketika ditemui Astro Gempak semalam, masih mengambil pendekatan selamat untuk tidak mengiyakan mahupun menidakkan khabar angin tersebut.

"Apa yang boleh saya katakan, selagi tidak keluar apa-apa daripada mulut kami berdua, doakan yang baik-baik sahaja.

"Lagipun, saya suka buat kejutan. Sebelum ini saya beri bunga kepada Fazura pun semua orang tidak tahu.

"Saya tidak mahu mengulas, mungkin bukan 13 November kami bertunang, mana tahu esok?

"Kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan,” katanya kepada Astro Gempak.

Pasangan ini ditemui selepas majlis pra-tonton supertelefilem Wanita Terindah di GSC, Pavilion malam tadi.

Sementara itu, Fazura mengakui terkejut dengan khabar angin itu dan menganggap ia gimik yang cuba dicipta sebelum tayangan rasmi Wanita Terindah pada 2 November 2017.

"Saya juga terkejut dengan hal ini. Mungkin juga perkara terbabit bertebaran kerana gimik cerita lakonan kami kali kedua ini.

"Buat masa ini kami sibuk bekerja seperti biasa.

"Jika ada berita baik, saya tidak akan mengenepikan wartawan yang sentiasa menyokong kerjaya saya.

"Soal jodoh saya tidak berani hendak mengulas, apa-apa pun doakan yang baik-baik," kata Fazura.

Selain Fazura dan Fattah, Wanita Terindah turut membariskan pelakon seperti Sarah Hildebrand, Liza Othman, Adam Mika, Ridzuan Hashim dan Samantha Katie James.

Ia disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula hari ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal