Penyanyi dan komposer Aizat Amdan bersedia untuk bekerjasama semula dengan pelakon Fattah Amin untuk menghasilkan single yang seterusnya.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 28, berkata, dia senang untuk bekerja dengan Fattah dan mencipta lagu yang sesuai dengan suaranya.

"Insya-Allah tidak ada masalah untuk bekerjasama lagi jika dia minta saya cipta lagu lain selepas ini.

"Sejujurnya saya senang bekerjasama dengan Fattah kerana dia mempunyai kesungguhan serta sedang berusaha menjadi seorang penghibur serba boleh.

"Saya akan cipta lagu yang sesuai dengan suaranya dan tidak terlalu berat.

"Ini kerana saya mahu pendengar rasa happy dan boleh menyanyi bersama-sama apabila mendengar lagu tersebut," katanya kepada Astro Gempak.

Aizat berkata demikian ketika ditemui semasa program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah, baru-baru ini.

Untuk pengetahuai semua, lagu Wanita Terakhir dan 1234U nyanyian Fattah Amin merupakan ciptaan Aizat bersama Anas Amdan dan Mel Ramlan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi