Penyanyi yang popular dengan lagu Jampi, Hael Husaini tidak merancang untuk mengambil anak angkat lagi dalam tempoh terdekat.

Fokusnya untuk membesarkan puteri sulungnya, Helena yang kini baru berusia enam bulan.

"Saya tiada perancangan untuk mengambil anak angkat lagi tetapi andai kata ada rezeki selepas ini saya tidak akan tolak.

"Berkongsi rezeki dengan orang lain tak rugi apa-apa pun," katanya yang ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hael menyifatkan Helena telah mengubah hidupnya secara total dan menjadikan dia lebih matang berbanding sebelum ini.

"Helena banyak mengubah hidup saya menjadi orang yang lebih matang dalam segala aspek. Tahun 2017 merupakan tahun rezeki berganda saya.

"Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan dan perjalanan membesarkan Helena senang.

"Hidup saya, kerja saya segalanya untuk Helena. Perlahan-lahan saya belajar dan diajar oleh keluarga untuk membesarkannya," tambah Hael.

Peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 menyaksikan Hael yang mempertaruhkan lagu Jampi berentap dengan 29 buah lagu lain antaranya Lebih Sempurna (Syamel), Tergantung Sepi (Haqiem Rusli) dan Menahan Rindu (Wany Hasrita).

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @haelhusaini