Vokalis kumpulan Nastia, Leo Azman, mengakui tidak kisah jika populariti yang diraih kumpulannya datang selepas menyanyikan lagu runut bunyi (OST) untuk sesebuah drama.

Menurut Leo Azman, dia tidak merancang untuk bergelar penyanyi yang hanya menyanyikan lagu OST namun menggangap itu sebagai kelebihan yang ada pada kumpulan Nastia.

"Memang lagu pertama kami itu merupakan lagu OST untuk drama Papa Ricky yang bersiaran di Astro.

"Mungkin disebabkan itu orang ramai mula mengenali lagu Rapuh dan kewujudan kumpulan kami dalam industri nyanyian.

"Kami tidak kisah jika selepas ini menyanyikan lagu untuk OST drama seterusnya kerana itu merupakan kelebihan untuk sesebuah lagu itu popular dengan mudah.

"Namun jika diberikan pilihan kami juga ingin menghasilkan lebih banyak lagu yang berkualiti dan dapat mewarnai industri suara di Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Leo Azman berkata demikian ketika ditemui semasa program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah, baru-baru ini.

Selain Leo Azman, kumpulan Nastia turut dianggotai oleh Rudy Iskandar (gitar), Zack Zainal (piano) dan Adzim Shafi (bes).