Vokalis kumpulan Noah, Ariel, mengakui tidak mahu lagi memandang ke belakang mengenang memori silam yang berlaku kepada dirinya suatu ketika dahulu.

Menurut Ariel, dia menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu pengajaran buat dirinya supaya lebih maju pada masa hadapan.

"Saya akui kisah silam yang terjadi itu masih segar dalam ingatan peminat di sini dan saya tidak mahu memandang perkara ini sebagai satu halangan untuk mengadakan konsert di Malaysia.

"Jika saya masih terkenangkan mengenai apa yang terjadi dahulu mungkin kerjaya seni saya akan terhenti begitu sahaja dan saya perlu berbuat sesuatu untuk terus maju.

"Disebabkan itu kami tampil dengan kumpulan Noah kerana tidak mahu peminat terkenangkan memori bersama Peterpan dan saya akui bukan mudah untuk memulakan sesuatu yang baru.

"Perubahan juga harus datang daripada kedua-dua belah pihak iaitu bermula dengan diri saya dan peminat sentiasa mempercayai dengan bakat yang ada pada kami," katanya kepada Astro Gempak.

Ariel berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Noah Live In Kuala Lumpur, di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Konsert Noah Live In Kuala Lumpur akan diadakan pada 25 November depan, di Stadium Negara.

Para peminat Noah yang ingin dapatkan tiket boleh melayari laman web airasiaredtix.com, bermula dengan harga RM95 sehingga RM235.