Penyanyi Ezlynn akhirnya bercerai talak satu dengan Adam Fahmy selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Adam, 38, melafazkan cerai terhadap Ezlynn di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur selepas dia bersetuju menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan sejak awal tahun ini secara baik.

Lafaz itu dibuat Adam di hadapan Hakim Syarie, Noorbyetty Nasir kira-kira pukul 10.30 pagi.

Sebelum itu, Noorbyetty mengarahkan Adam dan Ezlynn bersalaman dan bermaaf-maafan buat kali terakhir sebelum lafaz cerai dibuat.

Ezlynn atau Azline Ariffin, 36, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984 pada 7 April lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 21 November 2011 namun masih belum dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini Ezlynn mendakwa rumahnya diceroboh suami sendiri yang melarikan beberapa barang berharga namun perkara itu disangkal oleh Adam kerana rumah berkenaan adalah milik mereka bersama.

Sumber: mStar Online