Filem Bisik Pada Langit (BPL) mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kutipan lebih RM3.5 juta.

Kutipan memberangsangkan ini memecahkan tradisi filem-filem dengan tema sama yang sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Mengangkat tema kekeluargaan, BPL dibarisi oleh pelakon hebat seperti Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy, Datin Fadilah Mansor, Na’im Daniel dan Erwin Dawson.

Filem karya sutradara prolifik Kabir Bhatia ini telah mula menemui penonton semenjak 21 September lalu.

Biarpun bersaing dengan filem luar negara dan filem tempatan, BPL masih kekal menjadi pilihan penonton dan penggemar wayang.

Ketika mula ditayangkan, BPL bersaing dengan filem Kingsman: The Golden Circle dan filem Abang Long Fadil 2.

Kini, BPL masih ditayangkan dan mendapat sambutan walaupun filem Tombiruo: Penunggu Rimba mula memanjat carta kutipan.

Sehingga kini, filem ini masih lagi ditayangkan di 38 pawagam seluruh negara.

"Penerimaan penonton terhadap BPL merupakan satu petanda yang amat baik. Ia melambangkan penonton filem di Malaysia tidak hanya menumpukan perhatian terhadap filem-filem berbajet besar atau pun filem dengan genre tertentu.

"Filem tema keluarga seperti BPL juga menambat hati penonton. Saya amat berterima kasih dan berharap filem seperti ini dapat mewarnai persada filem tanah air," kata Datuk Khairul Anwar Salleh selaku Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro.

Pada awalnya, ramai yang skeptikal dengan BPL dan menjangkakan filem ini meraih kutipan kurang RM1 juta.

Nyata filem BPL mempunyai jalan cerita yang kuat serta formula tersendiri mampu memberi saingan dalam menarik perhatian penonton.

Naskah air mata yang mengangkat kisah agung seorang ayah terhadap puteri kesayangannya berjaya menarik penonton ke panggung wayang serta sama-sama menangis di pawagam.

Bagi mereka yang belum berkesempatan untuk menonton BPL atau mahu menontonnya sekali lagi, kunjungi pawagam berhampiran dan jangan lepaskan peluang anda!

Teks oleh: Kamaruddin Razal