Finalis Hero Remaja 2017, Harris Annuar, mengakui terkilan apabila ada pihak yang memandang rendah kepada golongan yang tidak mempunyai rambut ataupun digelarkan sebagai botak.

Menurut Harris Annuar, dia ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa golongan yang digelarkan sebagai 'botak' ini mampu untuk berjaya dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya ramai orang yang memandang rendah kepada golongan yang tidak mempunyai rambut ini malah ada diantara mereka yang menggangap ini sebagai kekurangan yang ada pada kami.

"Namun saya mahu buktikan kepada orang ramai bahawa orang botak ini lagi berbakat dan hebat daripada orang yang berambut.

"Sebenarnya orang botak ini juga mampu membawa pelbagai watak dalam lakonan dan bukan hanya sekadar diberikan watak jahat sahaja.

"Saya juga ingin menjadi pelapis kepada pelakon Ridzuan Hashim kerana dia juga telah membuktikan bahawa golongan botak ini juga mampu berjaya dalam bidang lakonan," katanya kepada Astro Gempak.

Harris Annuar berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Hero Remaja yang diadakan di Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan rancangan akhir Hero Remaja 2017, pada malam ini (Khamis), pukul 9 malam, di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Siapakah diantara tujuh finalis, Harris Annuar, Safwan Nazri, Aliff Muhaimin, Adam Yusof, Ikmal Amry, Nabil Aqil dan Farhan Asri yang akan diumumkan sebagai Hero Remaja 2017 pada malam ini.

Sementara itu, penonton juga boleh menyaksikan 'Hero Remaja x Astro Gempak' secara digital di laman web Astro Gempak.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi