Penyanyi Daiyan Trisha, 24, mendedahkan dirinya sering menerima foto lucah menerusi laman Instagram.

"Saya selalu menerima foto-foto lucah seperti foto alat sulit lelaki yang dihantar di laman Instagram. Dalam sebulan pasti ada sekali saya menerima foto tersebut. Saya sendiri pelik kenapa mereka tiba-tiba menghantar foto-foto sedemikian.

"Saya tidak melakukan tindakan apa-apa. Saya hanya membiarkan sahaja tanpa membalas atau memberi amaran. Bagi saya, jika kita tidak melayan perkara tersebut, ia akan terhenti di situ. Lebih baik begitu," kata Daiyan lagi.

Tambah Daiyan, laman Instagram miliknya juga digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

"Kejadian ini berlaku tiga minggu lalu. Selalunya, jika ada pihak yang menggodam laman Instagram selebriti, pihak tidak bertanggungjawab itu mahu menjualnya untuk dijadikan akaun bisnes.

"Kes saya pula berbeza kerana pihak tersebut mahu memadamkan terus akaun saya. Saya sendiri tak tahu apa sebabnya. Saya bertindak menghubungi pihak Instagram dan menceritakan perkara sebenar.

"Saya sangat risau kerana laman Instagram merupakan medium untuk saya menonjolkan hasil kerja. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya mendapatkan semula akaun Instagram saya," katanya ketika ditemui di Singapura bersempena Anugerah Planet Muzik 2017.

Dalam perkembangan terbaru, Daiyan bakal muncul dengan single baru berjudul Kita Manusia pada 20 Oktober ini.

Daiyan juga sedang sibuk di set penggambaran drama bersiri Coffee Prince yang bakal bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD.

Filem lakonan Daiyan, Busker bakal menemui penonton pada Januari tahun hadapan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @daiyantrisha