Pelakon Luqman Hafidz akui menjalani empat kali saringan uji bakat Ola Bola Muzikal sebelum melayakkannya membawa watak asalnya iaitu Ali.

Luqman berkata dia sanggup melalui proses uji bakat itu demi watak Ali yang pernah dibawa di dalam filem Ola Bola sebelum ini.

"Berlakon di dalam filem dan di atas pentas teater berbeza dan saya tidak kisah bila diminta turut sama melalui proses ujibakat.

"Lagipun di dalam filem itu, saya hanya berlakon sahaja tetapi di dalam muzikal ini saya perlu menyanyi dan menari yang mana saya sendiri tidak biasa lakukannya sebelum ini.

"Namun saya sanggup lalui semua proses itu dan belajar benda baru untuk Ola Bola Muzikal ini.

"Sebenarnya saya tak rela hendak melepaskan watak Ali kepada orang lain meskipun ia kini dibawa ke atas pentas pula.

"Lagipun saya sudah lama mencari peluang untuk menceburi bidang teater untuk kembangkan lagi bakat seni saya," katanya kepada Astro Gempak.

Luqman ditemui selepas sidang media pengumuman barisan pelakon baru dan lama Ola Bola Muzikal di Matic, semalam.

Menyedari kelemahannya dalam seni tarian, Luqman memberitahu dia kini sudah mula menghadiri kelas menari.

"Saya antara pelakon baru beraksi di atas pentas teater berbanding yang lain.

"Jadi saya ambil inisiatif untuk membuat latihan awal terutama dalam tarian kerana saya akui tidak biasa melakukannya sebelum ini.

"Saya harap dapat memberikan yang terbaik atas pentas Ola Bola Muzikal nanti," katanya lagi.

Selain Luqman, Jian Wen yang membawa watak Ah Chai antara pelakon asal yang berjaya terpilih untuk beraksi di Ola Bola Muzikal.

Wajah-wajah baru yang membintangi pementasan ini ialah Brian Chan sebagai Chow Kwok Keong atau Tauke, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu Kumar dan Kai Chalmers sebagai Eric Yong di mana masing-masing merupakan pelakon yang tidak asing lagi di pentas teater.

Sementara itu, Altimet pula bakal muncul sebagai penampilan istimewa dalam Muzikal Ola Bola ini dengan membawa watak Drill Sarjan Ahmad.

Muzikal ini bakal dipentaskan di panggung sari Istana Budaya pada 8 Februari 2018.

Teater ini diinspirasi daripada filem sebenar Ola Bola arahan pengarah Cheiu Keng Guan. Filem berkenaan berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM15.85juta ketika ditayangkan pada tahun 2016.

Tiket-tiket teater muzikal Ola Bola sudah dijual mulai hari ini menerusi online dengan tawaran pembelian awal ('early bird') hanya berharga RM150 berbanding harga asal RM250. Tawaran tersebut sehingga 16 November 2017. Maklumat lanjut layari laman sesawang rasmi, www.olabolamusical.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal