Peserta Kilauan Emas 4, Nordin Yusuff, 55, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat penyakit bengkak hati dan kini hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chepa, Kedai Lalat, Kota Bharu Kelantan.

Nordin ataui lebih dikenali sebagai Megat Nordin juga merupakan artis terkenal dikir barat di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Menurut isteri pemenang tempat ketiga Kilauan Emas 4 itu, yang dikenali sebagai Khoirulnisa Mad Dioh, suaminya disahkan menghidap penyakit tersebut ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital.



“Tahap kesihatannya mulai merosot sejak bulan Ogos tahun lalu tetapi keadaannya semakin kritikal dalam seminggu ini. Malah, keadaan fizikal suaminya itu juga semakin kurus,” katanya ketika ditemui di rumahnya dua hari lalu.

Terdahulu, keluarga artis tersebut menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Dalam kerjaya seninya itu, Megat Nordin pernah mengadakan persembahan dikir barat di hadapan masyarakat Landon sempena Minggu Malaysia 2007.

Antara lagunya yang menjadi siulan ialah Ambo Ghaso Berkene, Tinggalah Kasih, Hidup Usia Remaja, Hajat Tak Sampai, Begapo dan Tunggu-tunggu Tok Kelik.

Album-album Megat Nordin yang dihasilkan dalam bentuk kaset itu juga pernah terjual sehingga ratusan ribu unit.

Aktif berdikir barat sejak 1980, Megat Nordin membuat lonjakan terhadap kerjaya seninya dengan menyertai rancangan Kilauan Emas pada tahun 2014.

Berita/Foto: Utusan Online