Pelakon Janna Nick mengakui perjalanan kerjaya seninya agak padat pada tahun ini.

Menurut Janna, disebabkan itu dia sekadar mendapat rehat kurang daripada lima jam sehari dan masa selebihnya digunakan untuk menyelesaikan tugasan harian serta memenuhi tuntutan kerja.

"Alhamdulillah, tahun ini boleh dikatakan jadual saya agak padat dan sekarang ini agak sibuk dengan penggambaran drama serta menjadi duta untuk beberapa produk terkenal.

"Saya harus menguruskan masa dengan baik untuk memenuhi undangan serta berada di lokasi penggambaran.

"Disebabkan itu sehari saya tidur tak sampai lima jam dan saya menggangap perkara itu sebagai pengorbanan yang dilakukan apabila bergelar seorang anak seni.

"Meskipun mempunyai kurang masa untuk tidur, namun saya gembira dengan apa yang dilakukan sekarang ini dan bersyukur rezeki saya tidak putus-putus datang pada tepat masanya," katanya kepada Astro Gempak.

Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian dan memperkenalkan duta produk Cassandra Beauty Dust, di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercerita mengenai pelantikan sebagai duta Cassandra Beauty Dust, Janna berkata, dia bersyukur kerana diberikan kepercayaan dan kagum dengan keberkesanan produk itu dengan dirinya.

"Saya tidak akan sesekali menerima tawaran menjadi duta jika produk itu tidak bagus dan saya mengakui produk ini amat berkesan selepas menggunakannya," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi