Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 38, mengaku menjalani rawatan kesuburan beberapa kali sebelum disahkan hamil sekitar Jun lalu.

Siti dalam sesi khas bersama media berkata, tujuan pengumuman tersebut dilakukan kerana sebelum ini ada pihak yang mengatakan beliau tidak pernah mencuba untuk mendapatkan zuriat.

“Ya, saya ada menjalankan rawatan kesuburan beberapa kali di sebuah pusat rawatan dan Alhamdulillah, penantian saya dan suami selama 11 tahun akhirnya membenihkan khabar gembira.

“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya dan suami supaya dapat menimang cahaya mata selama ini,” katanya.

Dalam pada itu Siti turut berharap pengumumannya pada malam ini dapat menutup segala spekulasi yang bertebaran sepanjang empat bulan lalu.

“Saya memilih untuk berehat kerana kandungan dan bayi ini menjadi keutamaan saya.

“Tujuan saya membuat pengumuman ini adalah supaya pihak yang berurusan dengan pengurusan saya Siti Nurhaliza Production (SNP), dapat memahami keadaan saya yang tidak dapat memenuhi sebarang undangan sejak beberapa bulan lalu.

“Semoga dengan penjelasan saya ini, segala tanda tanya dan desas-desus selama ini terjawab kerana saya memutuskan untuk berehat disebabkan kehamilan sulung ini,” ujarnya dalam nada gembira.

Siti dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.