Kisah menyedihkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Beijing yang gagal memberikan buah pinggang kepada bapanya mendapat perhatian ramai selepas dikongsi menerusi laman sosial Weibo.

Bapa kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Qiao Xin dari Xinye, wilayah Henan disahkan menghidap Uremia atau kegagalan buah pinggang sejak 18 Julai dan perlu menjalani rawatan mencuci buah pinggang setiap dua hari.

Disebabkan penyakit itu, lelaki berusia 34 tahun tersebut tidak dapat lagi bekerja sebagai mekanik dan menampung keluarganya.

Lebih menyedihkan Qiao Xin merupakan satu-satunya tulang belakang terhadap lapan ahli keluarganya termasuk anak berusia lima tahun dan nenek berusia 82 tahun.

Uremia hanya boleh dirawat menerusi pemindahan buah pinggang dan anak perempuannya, Qiao Die menawarkan organnya untuk memastikan ayah kesayangannya itu terus hidup.

Menurut laporan portal People's Daily Online, Qiao Die telah melakukan pemeriksaan di hospital untuk memastikan sama ada buah pinggangnya sesuai untuk diberikan kepada ayahnya.

Namun keputusan doktor mendapati organnya tidak sesuai, sekali gus menyebabkan kanak-kanak perempuan tersebut menangis kerana tidak dapat membantu ayahnya.

"Ayah, saya tidak mahu kamu mati, ambillah buah pinggang saya.

"Ayah adalah kebahagian kami," kata Qiao Die ketika menangis di hadapan ayahnya.

Qiao Die merupakan pelajar pintar di sekolahnya dan sering mendapat keputusan yang baik.

Olahan: Hafiza Kamarudin

Sumber: mStar Online