Pelakon Zahirah Macwilson mengakui tidak mempercayai wujudnya cinta lokasi apabila dia digandingkan bersama aktor lelaki dalam sesebuah drama.

Menurut Zahirah, dia menganggap perkara itu tidak sepatutnya wujud dengan alasan untuk mencari keserasian bersama pasangan.

"Saya sebenarnya tidak percaya dengan cinta lokasi kerana bagi saya perkara seperti itu tidak perlu ada.

"Sebagai pelakon mereka harus bersikap profesional dalam mencari keserasian dengan pasangan dalam sesebuah drama.

"Bagi saya cukuplah sekadar berkawan di set penggambaran sahaja tetapi tidak perlu sehingga membawa rasa itu sehingga ke luar set," katanya kepada Astro Gempak.

Zahirah berkata demikian ketika ditemui di sesi FB Live untuk drama bersiri Duda Pujaan Dara baru-baru ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Zahira kini dalam proses menjalani penggambaran Drama La Luna arahan Liza Ismail dan turut dibintangi oleh Azrel Ismail, Afiq Muiz dan Elisya Sandha.

"Saya berharap agar dapat melakukan yang terbaik untuk drama kali ini dan watak yang akan dibawa akan memberi kesan kepada penonton apabila ia disiarkan nanti," ujarnya.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi