Pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Watie Sadali memberitahu Mahkamah Sesyen Selayang semalam, bahawa dia hanya mampu membayar RM2,500 sebulan sebagai penyelesaian bayaran tuntutan ganti rugi rakan sekumpulannya, Hana.

Menurut Harian Metro, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 41, berkata pendapatnnya tidak menentu setiap tahun bergantung kepada tawaran lakonan yang diterima.

"Berpandukan kepada penyata bank milik saya, jumlah pendapatan pada 2015 hanyalah RM69,610 manakala pada 2016 hanya RM34,200.

"Manakala bagi 2017 dari Januari hingga Jun hanya RM2,500 yang dimasukkan ke dalam akaun.

"Tahun ini saya akui ada terima bayaran RM900 sehari bagi 40 episod drama bersiri. Ia diterima secara tunai tetapi itu saja yang diterima.

"Pendapatan saya tidak menentukan kadang-kadang RM5,000 atau RM12,000 bergantung kepada apa yang saya buat,” katanya.

Watie berkata, dia juga mempunyai komitmen bayaran bulanan antaranya bayaran kereta, sewa rumah, insuran keluarga dan bil utiliti serta perbelanjaan harian.

Prosiding itu adalah bagi menentukan jumlah dan cara yang boleh dibayar Watie selepas di dalam prosiding sebelum ini, dia mengakui tidak mampu membayar ganti rugi sebanyak RM707,351.83 yang dituntut oleh Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan, 39.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 25 Oktober ini untuk membuat keputusan selepas selesai mendengar keterangan Watie.

Turut hadir, suaminya Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey.

Hana memfailkan saman terhadap Watie ekoran kegagalan rakannya itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya (Hana) untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Sumber: Harian Metro