Kumpulan K-pop wanita popular Girls' Generation atau SNSD dilapor berada di ambang perpecahan.

Menurut laporan Allkpop, tiga anggota kumpulan itu dikatakan telah membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan pengurusan SM Entertainment.

"Ketiga-tiga mereka akan meneruskan karier bersama pengurusan yang lain tentunya sukar untuk mengatur jadual apabila berada di bawah pengurusan yang berlainan," kata sumber.

Menerusi satu kenyataan, SM Entertainment, telah menafikan bahawa Girls' Generation akan dibubarkan.

"Kami perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk tiga anggota yang sudah tamat kontraknya.

"Namun berpecah tidak ada dalam perancangan apatah lagi mereka adalah aset bernilai kepada kami," kata wakil SM Entertainment.

Sebelum ini, Girls' Generation pernah kehilangan seorang ahli, Jessica, yang ditamatkan kontrak pada 2014.

Ditubuhkan pada 2007, Girls' Generation merupakan antara artis Korea Selatan paling berjaya dengan penjualan album melebihi 4 juta unit di seluruh dunia, malah menjadi antara pelopor muzik K-Pop di Amerika Syarikat.