Dedah Kehidupan Keluarga Di TV, Tomok Sedia Terima Kritikan

10 Oktober 2017. 11.09 AM
3,535
Hiburan
Dedah Kehidupan Keluarga Di TV, Tomok Sedia Terima Kritikan
Penyanyi Tomok akui sudah bersedia menerima apa sahaja kritikan selepas bersetuju memaparkan kehidupan sebenar keluarganya di dalam sebuah program realiti, Rockstar Junior: Arrian & Andra .

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, sebagai anak seni, dia sudah biasa menerima kata-kata negatif dan melaluinya dengan tenang.

"Saya akui pada mula-mula menerima tawaran ini, saya mengambil masa berbulan-bulan sebelum bersetuju.

"Program ini akan memaparkan bagaimana kehidupan saya sebagai penyanyi serta kehidupan anak dan keluarga saya seharian.


"Jadi saya perlu memikirkan banyak perkara seperti soal keselamatan dan paling saya risau, komitmen anak-anak saya kerana mereka masih kecil dan hanya melakukan sesuatu itu mengikut kehendak mereka sahaja.

"Saya sudah bersedia juga dengan apa sahaja kritikan dan bukannya saya tidak biasa dengan kata-kata negatif orang sepanjang 19 tahun karier saya dalam bidang seni,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui di majlis pelancaran Rockstar Junior: Arrian & Andra di The Gardens Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar berkata, Arrian dan Andra merupakan kanak-kanak comel, petah berbicara dan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk memikat hati orang ramai dalam program tersebut.

"Sebelum ini, mungkin orang ramai hanya lihat sebahagian sahaja apa yang dikongsi Tomok mengenai anak-anaknya di Instagram tetapi menerusi program ini ia bakal memaparkan lebih lagi mengenai kehidupan keluarga ini.

"Rockstar Junior bakal memaparkan kisah Arian ke sekolah, kisah percutian mereka sekeluarga di taman tema serta kisah Arrian dan Andra menerimai ibu bapanya ke tempat kerja dan sebagainya.

"Kepelbagaian situasi yang dipaparkan dalam setiap episod akan membuka ruang kepada lebih banyak perkonsian tip keibubapaan yang berbeza, bersesuain dengan situasi pada epidos tersebut.

"Tomok dan Ayu juga bakal menujukkan pendekatan yang digunakan serta cara mereka mendidik anak-anak mereka," katanya.


Rockstar Junior bakal memaparkan kisah kehidupan harian keluarga Tomok dan isterinya Rahayu Abas membesarkan dan mendidikan dua orang anak terunanya, Arrianshah Akid, 5, dan Andrashah Iman, 2.

Beberapa rakan selebriti Tomok seperti Black, Shuib, Zahid, Atu Zero dan ramai lagi turut membuat penampilan istimewa dalam rancangan ini

Program itu bakal bersiaran menerusi slot eBu, setiap Rabu pukul 9 malam bermula 11 Oktober ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).


Teks oleh: Syafiqah Jalal