Pengarah popular, Michael Ang bakal menghasilkan telefilem yang mengangkat subjek khunsa.

"Selepas saya selesai dengan drama bersiri Coffee Prince, saya bakal menghasilkan telefilem berkisarkan tetang khunsa. Telefilem itu juga bakal menggunakan judul sama.

"Tujuan saya menghasilkan telefilem ini bukanlah untuk menjadikannya sebagai bahan sensasi, mengangkat atau mengagungkan mereka.

"Saya sendiri sedar yang subjek khunsa merupakan topik yang enggan dibincangkan secara umum dan sesuatu yang dianggap janggal oleh masyarakat Malaysia.

"Saya mahu orang awam mendapat pencerahan yang sebenar mengenai apa itu khunsa dan apa yang mereka lalui dalam kehidupan," kata Michael.

Tambah pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu, dia juga sudah lama tidak muncul dengan karya yang memaparkan tema serius dan berat.

"Saya sudah lama tidak muncul dengan karya serius seperti Kulit, dan Racun Menantu. Saya sering memenuhi kehendak pasaran yang mahukan karya bertemakan komedi romantik dan kini, biarlah saya kembali ke genre berat pula.

"Telefilem Khunsa bersifat kemanusiaan dan saya berharap agar peminat jangan menghukum, menghakimi serta mengutuk terlebih dahulu. Nantikan hasilnya," katanya lagi.

Menyimpan rahsia senarai pelakon yang bakal terlibat, pengarah drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot ini akan berkongsi mengenai perkara ini tidak lama lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Sumber Google