Penyanyi Farawahida menegaskan dia tidak berniat untuk menumpang populariti Datin Alyah apabila ditawarkan untuk berduet bersama-sama dalam single terbaharu, Mengapa Harus Aku.

Jelas Farawahida, 32, dia menerima tawaran isteri kepada pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS itu kerana keunikan lagu itu sendiri.

"Jarang kita dengar lagu duet dinyanyikan oleh dua orang wanita, jadi saya terima tawaran Alyah kerana kolaborasi itu sendiri.

"Tiada istilah menumpang populariti sesiapa kerana ini projek bersama.

"Jujur saya akui Alyah memiliki vokal yang hebat dan peluang untuk berduet dalam lagu ini memang sudah lama saya tunggu," katanya pada majlis pelancaran single Mengapa Harus Aku di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Untuk rekod, Farawahida pernah berduet dengan penyanyi Indonesia, Endang S Taurina menerusi lagu Di Sini Ada Cinta pada tahun 2009.

Kali terakhir Farawahida muncul dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi ciptaan Manusia Puteh enam tahun lalu.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @realfarawahida