Biarpun Litar Antarabangsa Sepang bakal sepi selepas penganjuran edisi terakhir perlumbaan ikonik Grand Prix Formula 1, sejarah yang tercipta sejak tahun 1999 pasti sukar dilupakan.

Selain kisah kemegahan litar itu sendiri, deretan anak muda tempatan yang dilahirkan daripada litar lumba itu.

Sempena dengan tahun penutup kejuaraan terkenal dunia Formula 1, kami senaraikan lima anak muda tempatan yang paling menyinar di litar lumba.

1) Jazeman Jaafar

Memulakan kerjaya di litar Go-Kart seawal usia enam tahun, Jazeman Jaafar, 24, sudah memenangi 11 kali perlumbaan di Malaysia dan antarabangsa.

Pencapaian tertinggi Jazeman adalah menerusi kejuaraan pertama dalam kejohanan Formula Renault 3.5 Series di Monaco tahun lalu.





2) Akash Neil Nandy

Akash Neil Nandy, 20, merupakan antara peserta termuda tempatan dan mewakili pasukan Jenzer Motorsport.

Akash dilahirkan di Petaling Jaya dan pernah menjadi pelumba termuda memenangi Macau Grand Prix ketika berusia 16 tahun.





3) Nabil Jeffri

Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, 23, memulakan kerjayanya di litar Go-Kart sejak tahun 2009.

Nabil yang mula menyertai perlumbaan Formula 3 (F3) di Eropah sejak 2013 serta kini bersama pasukan Arden International.

Populariti dan pesonanya di litar lumba menjadikan Nabil antara pelumba paling berpengaruh di media sosial dengan pengikut hampir 30,000 di Instagram.

Malah, nama pelumba F2 negara itu pernah dikaitkan dengan pelakon baharu Raysha Rizrose.





4) Afiq Ikhwan

Mohamad Afiq Ikhwan Mohamad Yazid, 26, memulakan karier pada tahun 2007 dan pernah 29 kali memenangi perlumbaan.

Tahun ini, Afiq menyertai pasukan Lamborghini Osaka-Clazzio bersama pelumba profesional Jepun, Kei Cozzolino dan aksinya di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini sekali lagi mencuri tumpuan.

5) Alex Yoong

Sekitar tahun 2001, nama Alexander Charles Yoong Loong, 41, menjadi sebutan ramai berikutan penyertaannya dalam arena sukan Formula 1 (F1) dan merupakan rakyat Malaysia tunggal berlumba dalam F1 Grand Prix Itali ketika itu.

Alex pernah memenangi 36 perlumbaan daripada 262 kejuaraan yang disertai sekali gus meletakkan ikon ini sebagai pemandu kereta lumba tempatan yang paling banyak menjadi juara.

Tidak dapat disangkal lagi, Alex antara pemandu litar lumba kegemaran ramai sepanjang zaman.







Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @akashneilnandy, @alexyoongf1, @jazemanjaafar, Twitter @nabiljeffri, The Star