Cef selebriti terkenal tanah air, Datuk Fazley Yaakob merancang untuk mempelbagaikan lagi masakan tradisional Melayu di peringkat antarabangsa.

Menurut Fazley, dia mahu mengetengahkan masakan seperti sambal tempoyak, cencaluk dan budu setiap kali melakukan jelajah masakan di luar negara.

"Saya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan masakan yang dikategorikan sebagai makanan yang diperam ini di peringkat antarabangsa kerana bagi saya makanan tersebut sungguh sedap.

"Sebenarnya makanan ini juga sudah wujud di Perancis, cuma bangsa lain di luar mereka jarang menikmati makan yang selalu dimakan oleh kita di Malaysia.

"Jadi secara tidak langsung, saya mahu memberitahu kepada mereka makanan Malaysia lebih dari sekadar nasi lemak.

"Setiap kali saya melakukan jelajah masakan di luar negara, saya akan ketengahkan masakan Melayu kampung kepada mereka kerana ia sudah pasti menarik minat mereka untuk merasa masakan saya.

"Kebanyakkan orang di sana rata-ratanya suka makan masak lemak cili api dan rendang campur jadi pada masa akan datang saya akan pelbagaikan lagi masakan yang sedap di Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Fazley berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Portal Membeli-belah Jaya Grocer, di Starling Mall, Damansara Uptown, baru-baru ini.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi
Foto: Instagram Dato Fazley