Penyanyi dangdut Sheeda mengakui telah lama menyimpan hasrat untuk berhijab tetapi akan melakukannya apabila sudah benar-benar bersedia.

Menurut Sheeda, dia masih memerlukan masa untuk berhijab dan telah lama memasang niat untuk beralih mendendangkan lagu berunsur ketuhanan.

"Sejujurnya saya memang mempunyai niat untuk memakai hijab namun bukan dalam waktu terdekat kerana saya harus selesaikan beberapa urusan dunia sebelum menuju akhirat.

"Saya berharap agar orang ramai dapat mendoakan yang baik-baik buat saya dan segala apa yang dirancang akan dipermudahkan kelak.

"Insya Allah apabila sampai masanya saya tidak menolak untuk berhijab dan memilih menyanyikan lagu-lagu ketuhanan pula selepas ini.

"Saya sedar apa yang dilakukan sekarang ini hanyalah berlandaskan kehidupan di dunia, cuma apabila sudah berjanji saya harus tunaikan

“Jika boleh saya ingin selesasaikan kesemua kontrak pada tahun ini sebelum memilih untuk berhijab," katanya kepada Astro Gempak.

Sheeda berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di 137 Cafe Bistro Ampang, Pandan Indah, baru-baru ini.

Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 akan berlangsung pada 6 hingga 15 Oktober depan di Padang Anam, Batu Anam, Segamat Johor.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi