Penyanyi Aiman Tino mengakui tidak kecewa apabila dirinya tidak tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22).

Aiman atau nama sebenarnya Mohd Aiman Yusri, 18, berkata, meskipun lagunya kini semakin popular namun dia mengakui masih baru dan tidak setanding penyanyi senior.

"Ya memang lagu saya tengah naik, tetapi saya masih baru didalam industri dan perlu mempelajari banyak perkara lagi.

"Ini adalah permulaan buat saya yang baru bertapak dalam industri, mungkin tahun yang mendatang jika ada rezeki saya akan dapat bertanding," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Aiman, meskipun tidak dapat bertanding dalam AIM 22, namun dia berterima kasih kepada komuniti kerana memberinya peluang membuat persembahan pada malam anugerah berprestij itu.

Dalam pada itu, bercerita mengenai lagu Ku Rela Dibenci, dia bersyukur kerana lagu ciptaan bapanya Yusri Ismail mendapat perhatian sehingga mencecah lebih 17 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik empat bulan lalu.

Tambahnya, dia sendiri tidak pernah terfikir lagu tersebut menjadi hit dan menerima sambutan luar biasa pendengar.

"Saya sendiri terkejut dan tidak pernah terfikir lagu ciptaan bapa dan ibu saya ini mendapat sambutan menggalakkan. Apa pun saya bersyukur sangat dan ia adalah rezeki yang Allah beri pada kami sekeluarga.

"Sebelum ini saya pernah hadir ke uji bakat nyanyian untuk beberapa program realiti untuk kanak-kanak tetapi tidak pernah berjaya," katanya.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi