Julian Yee mencuri tumpuan menerusi aksi bersahaja dalam temasya sukan dwitahunan, Sukan Sea KL2017 lalu menerusi acara luncur ais.

Pesona Julian sebagai penyumbang pingat emas negara itu juga menjadi buah mulut penonton yang mengikuti perkembangan acara sukan itu.

Namun, siapakah sebenarnya Julian Yee?

Julian tersenarai di kedudukan ke-38 dunia dan pernah menduduki tempat keenam pada Kejohanan Trofi Nebelhorn CS Ke-49 di Jerman sebelum ini.

Kami mengangkat Julian sebagai Gempak Star Of The Week kali ini selaku inspirasi anak muda dalam bidang sukan luncur ais yang sangat asing di Malaysia.

Jom berkenalan dengan lebih rapat dengan Julian Yee.

1) Luncur ais dan memasak

Julian Yee Zhi-Jie, 20, merupakan anak jati Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di Sri Kuala Lumpur dan Sunway University.

"Saya juga seorang yang gemar memasak dan suka melakukan aktiviti snowboarding. Selain itu, berkhemah juga sangat menyeronokkan," kata Julian.

2) Meluncur ketika 4 tahun

Bermula sebagai hobi, sukan luncur ais menjadi platform Julian mengasah bakat dan pergi lebih jauh.

"Saya bermula pada usia 4 tahun apabila ibu membawa saya bersama abang ke skating rink untuk beriadah.

"Selepas dua tahun saya mula bertanding dalam pelbagai acara tempatan dan sukan ini mula mendapat tempat di hati saya sampai sekarang," katanya.

3) 3 jam sehari

Terbaharu, Julian berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan tahun hadapan.

"Terima kasih atas sokongan semua dan saya rasa amat bangga serta gembira kerana berjaya melayakkan diri ke acara besar seperti Winter Olympics 2018.

"Sesi latihan saya sekurang-kurangnya tiga jam sehari di gelanggang ais dan sejam untuk senaman, latihan kardio dan tarian," tambah Julian.



Julian menjadi atlet sulung Malaysia bertanding ke temasya sukan itu.

4) Sama macam Wang Leehom

Ada yang menyamakan Julian seperti penyanyi terkenal China, Wang Leehom, ini komen Julian.

"Hahaha, Wang Leehom mungkin abang saya yang terpisah sejak kecil," katanya ketawa.



5) 5 tahun akan datang

Siapa Julian dalam tempoh lima tahun akan datang?

"Saya akan tamat belajar dan akan membantu membangunkan Figure Skating di negara kita dan rantau Asia Tenggara," ungkap Julian.










Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @julianyeeee