Bekas anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya mengakui pelawak perlu ada ilmu jika tidak mahu kelihatan syok sendiri ketika mengadakan persembahan.

Menurut Yassin, bergelar seorang pelawak bukannya mudah kerana mereka perlu ada ilmu untuk mencari bahan ketika berjenaka supaya tidak menyinggung perasaan orang ramai.

"Sebenarnya bergelar sorang pelawak memang susah kerana setiap orang mahukan persembahan terbaik melalui bahan jenaka yang dipersembahkan.

"Pelawak juga perlu bijak mengawal situasi apabila berjenaka kerana jika lawak itu tak dikawal, kita akan jadi 'over confident' seterusnya buat orang menyampah.

"Ilmu amat penting dalam mencari bahan jenaka kerana kita juga tak mahu dilihat seperti syok sendiri," katanya kepada Astro Gempak.

Yassin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di 137 Cafe Bistro Ampang, Pandan Indah, baru-baru ini.

Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 akan berlangsung pada 6 hingga 15 Oktober depan di Padang Anam, Batu Anam, Segamat Johor.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi