Kumpulan muzik baru yang bernaung di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd, Ramayan menampilkan muzik yang diinspirasikan menerusi era 1970-an.

Dianggotai oleh Syafi’i (vokal / gitar), Amin (gitar), Omar (bass), Nadz (keyboard) dan Que (drum), Ramayan turut menyuntik elemen muzik nusantara dalam karya mereka.

“Jenis muzik yang kami bawakan berbeza berbanding kumpulan-kumpulan lain yang ada di Malaysia. Kami mengambil inspirasi daripada muzik era 1970-an seperti Alleycats, Sweet Charity dan Broery Marantika.

“Kami meminati muzik era lama dan cuba mengambil perkara tersebut sebagai ilham kepada muzik kami sendiri.

“Dalam pada itu, kami juga memperjuangkan muzik nusantara Melayu. Kami menyuntik elemen muzik tersebut ke dalam karya kami dan berharap agar semua pihak dapat menerimanya,” kata Syafi’i mewakili kumpulan Ramayan.

Tampil dengan album sulung mereka yang berjudul Ramayan, lima anak muda ini mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan buah tangan pertama mereka.

“Menerusi album pertama ini, kami mengambil masa enam bulan untuk tampil dengan lima buah lagu. Proses pembikinan album bermula tahun lalu dan semua lagu dalam album ini merupakan ciptaan kami.

“Kami membawa wajah yang baru dalam muzik pop Malaysia. Kami berharap semua pihak berlapang dada menerima kehadiran kami sebagai sebuah kumpulan muzik baru,” katanya mengakhiri bicara.





Teks oleh: Kamaruddin Razal