Bekas bintang Akademi Fantasia (AF) 2015, Sharul mengakui tidak terkilan walaupun gagal menempatkan diri dalam AG Megastar.

Sharul atau nama sebenarnya Muhamad Sharul Amin Kamarozan, 21, berkata, dia percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

“Saya tidak terpilih di kalangan Top 24, tidak apa kerana saya percaya bukan rezeki saya kali ini. Bagaimanapun saya tetap menyokong sahabat-sabahat saya Syamel dan Sufi supaya mereka dapat bertahan sehingga ke pusingan akhir.

“Lagipun, banyak lagi yang perlu saya pelajari dalam bidang nyanyian dan saya rasa peluang ini akan saya gunakan untuk belajar dan ‘explore’ perkara lain pula,” katanya yang sedang berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.



Bakal muncul sebagai pengacara program travelog terbaru, Jelajah Backpackers Di Balkan yang bakal bersiaran di saluran TVi, Januari 2018.

“Terus-terang, saya teruja apabila diberitahu yang saya berjaya dalam ‘casting’ pencarian pengacara untuk program travelog ini.

“Dalam masa sama, saya ‘nervous’ sebab ini pertama kali saya mengacara dan bakal mengembara ke negara orang hampir sebulan.

“Apa-apa pun saya berharap agar penerbit program berpuas hati dengan apa yang akan saya berikan nanti dan saya juga akan buat yang terbaik dan buktikan serlahkan bakat terpendam sebagai pengacara,” katanya ketawa.

Program tajaan Kembara Sufi Travel & Tour Sdn Bhd ini sudah pun memulakan penggambaran mereka sejak 4 September lalu dan bakal berakhir pada 30 September ini.

Lapan negara Balkan yang dijelajah Sharul ialah Bosnia Harzegovina, Bulgaria, Kosovo, Romania, Slovenia dan Crotia.



“Alhamdulillah, ini rezeki. Ada hikmah saya tidak terpilih ke AF Megastar kerana saya akan menjelajah negara Balkan.

“Saya sudahpun melakukan persediaan dengan melakukan carian di Internet mengenai negara-negara yang bakal saya lawati nanti,” katanya yang menganggap perkara tersebut adalah rezeki dan permulaan yang baik untuknya menjelang tahun depan.

Berikut merupakan single terbaharu Sharul berjudul Racun Rindu.